PENDAHULUAN
Pemeliharaan Kambing telah bermula semenjak beribu-ribu tahun dahulu (7000-6000 SM). Kemungkinan besar kambing adalah ternakan yang mula-mula sekali dijinak dan dipelihara untuk penghasilan daging, susu dan kulit. Walaupun kambing telah lama dipelihara oleh penternak di negara kita, perusahaan ini dikendalikan secara kecil-kecilan, sebagai aktiviti sampingan, mengawal rumpai, sebagai satu hobi dan juga untuk sumber protin haiwan bagi keperluan keluarga. Sifatnya yang suka merayau dan memilih makanan, terutamanya pucuk-pucuk tumbuhan boleh menentukan ianya memperolehi zat makanan yang cukup. Industri yang ada sekarang dapat menyumbangkan di antara 12%-15% keperluan negara di bidang daging kambing/ bebiri. Lebih dari 95% kambing dan bebiri dipelihara bagi tujuan pengeluaran daging, sementara bakinya adalah untuk pengeluaran susu.
1. TUJUAN PEMELIHARAAN
Pemeliharaan kambing boleh mendatangkan dua hasil utama, iaitu daging dan susu. Ternakan untuk susu dapat digunakan sebagai pengeluar apabila susunya berkurangan. Risalah ini akan menerangkan secara ringkas tentang keperluan-keperluan asas dalam pemeliharaan kambing untuk pengeluaran daging.
2. BAKA KAMBING
Baka-baka kambing yang boleh digunakan untuk keluaran daging biasanya mempunyai badan yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu. Kambing-kambing jenis ini juga tidak begitu besar seperti baka-baka kambing susu.
Susu kambing didapati mempunyai mutu yang lebih baik berbanding dengan susu lembu dan manusia, terutama dari segi kandungan protin dan lemaknya.
Di antara baka-baka daging yang boleh digunakan untuk pemeliharaan:
2.1 KAMBING KACANG/ KATJANG
Kambing kacang dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Ianya digunakan untuk keluaran daging. Kambing jenis ini mempunyai badan yang kecil dan pendek dan tanduk yang melentur ke atas dan ke belakang. Telinganya tegak ke sisi. Terdapat janggut pada kambing jantan dan jarang pada betina. Dari sisi, muka kelihatan lurus dan tirus.
Leher adalah pendek dan pada bahagian belakang adalah lebih tinggi dari bahu, purata ketinggiannya ialah 50-60 cm. Kulit badan nipis tetapi mempunyai bulu yang kasar. Warna bulu biasanya hitam, coklat dan kadangkala terdapat tompok-tompok putih di kaki atau badan. Kelahiran kembar adalah salah satu ciri kambing ini yang baik. Pengeluaran susu adalah sedikit; tidak lebih dari 0.3 kg sehari dalam masa 3 bulan pertama dan 0.2 kg dalam 4-6 bulan.
2.2 JAMNAPARI/ ETTAWAH
Kambing jenis Jamnapari berasal dari India. Ianya dibawa masuk ke Malaysia dengan maksud dikacukkan dengan kambing tempatan untuk membaiki populasi, genetik ternakan tempatan. Baka ini digunakan untuk keluaran daging dan susu (dwiguna). Pandangan dari sisi menunjukkan muka yang cembung (roman nosed) dan mempunyai telinga yang panjang melampai ke bawah.
Badan lebih besar dan tinggi dari kambing kacang dan terdapat tanduk yang melentur ke atas dan ke belakang. Bulunya agak lebat di bahagian punggung dan daerah leher. Bulunya agak kusut dan berwarna campuran hitam dan kekuningan.
Kambing jenis ini telahpun digunakan secara meluas di malaysia bagi memperbaiki mutu kambing tempatan.
2.3 ANGLO NUBIAN
Baka Anglo Nubian mempunyai sifat-sifat baka Zariby (Nubian) dari Mesir dan juga baka Jamnapari dari India. Kambing ini disifatkan sebagai tahan lasak dan mudah sesuai dengan alam sekitar. Selain dari pengeluaran daging, baka ini juga boleh digunakan untuk pengeluaran susu (dwiguna). Kambing jenis ini berbadan besar dan mempunyai telinga yang panjang dan melampai ke bawah. Hidung kambing jenis ini melengkung ke bawah dan mempunyai kaki yang panjang dengan purata ketinggian badannya 80 cm. Kebiasaannya kambing Anglo Nubian tidak mempunyai tanduk tetapi mempunyai bulu badang yang pendek. Warna bulu ialah ciklat kemerahan, tompok-tompok kemerahan seperti warna rusa, coklat putih, warna gelap atau kombinasi warna-earna tersebut.
Pengeluaran susu adalah menggalakkan dan ianya boleh mengeluarkan 2 g susu satu hari dan 250-300 kg bagi satu laktasi.
2.4 KAMBING KACUKAN
Kambing kacukan adalah hasil dari perkahwinan kambing kacang dan baka-baka luar negeri seperti Anglo Nubian, Jamnapari dan juga kacukan dengan baka-baka yang boleh mengeluarkan susu seperti Saanen, Toggenburg dan British Alpine. Kebanyakan kambing yang dilihat di kampung-kampung adalah kambing kacukan, cuma 40% dari jumlah kambing di negara ini ialah kambing kacang.
Rupa bentuk biasanya menunjukkan mirip kedua induk dan baka, tidak mempunyai ciri-ciri sendiri. Kambing jenis kacukan ini boleh meningkat berat badan sebanyak 18-25 kg dalam lingkungan umur setahun. Kambing kacukan dewasa juga mempunyai berat badan yang lebih tinggi dari kambing kacang. Purata berat badan ketika lahir adalah lebih kurang 2.0 kg-2.5 kg seekor.
2.5 KAMBING SAANEN
Kambing ini berasal dari Lembah Saanen di Switzerland. Bulunya pendek berwarna putih dan krim dengan titik hitam di hidung, telinga dan di kelenjar susu. Hidungnya lurus dan muka berupa segitiga. Telinganya sederhana dan tegak ke sebelah dan ke depan. Ekornya tipis dan pendek.
Tanduk didapati pada kedua-dua jantina. Kekacang di leher boleh dilihat pada baka ini. Penghasilan susunya berbeza di antara 500 kg dan 1,200 kg dalam tempoh 250 hari (purata 800 kg).
EM dalam Penternakan, Pertanian dan Perikanan
14 years ago
No comments:
Post a Comment